Selasa, 26 Mei 2009

Isu Jurulatih

ISU JURULATIH DAN PENCAPAIAN BOLASEPAK NEGARA

Assalamualaikum WBT…
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada FAM, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, semua penyokong dan peminat bolasepak tanah air yang tidak putus-putus memberi sokongan padu kepada pasukan negara walaupun baru-baru ini pelbagai isu timbul disebalik kekalahan kepada pasukan kebangsaan UAE di dalam perlawanan kelayakan Piala Asia.
Bolasepak negara pada kebelakangan ini sering menjadi tumpuan pihak media dan juga persatuan yang terlibat secara langsung dengan perkembangan bolasepak termasuklah Kementerian Belia dan Sukan dan juga Majlis Sukan Negara. Kita dikejutkan dengan isu jurulatih bolasepak negara iaitu B.Sathianathan yang menyatakan ‘M-League is Not A Football’ atau dengan kata lain ‘Liga Malaysia Bukanlah Bolasepak Sebenar’. Kenyataan tersebut mendapat perhatian semua peminat dan pencinta bolasepak termasuklah jurulatih-jurulatih tempatan. Sejurus selepas itu, FAM dengan kata sepakat telah memutuskan untuk memecat jurulatih negara iaitu B.Sathinathan bersama dengan pengurus pasukan bolasepak negara iaitu Datuk Soh Chin Aun. Bagi segelintir peminat dan pemerhati bolasepak, perkara ini tidak mengejutkan disebabkan kegagalan pasukan negara di dalam Kejohanan Piala Suzuki AFF pada tahun yang lalu. Sebagai pencinta bolasepak negara, kita tidak perlu membesarkan isu berkaitan kenyataan bekas jurulatih bolasepak negara itu. Kita perlu bersama-sama memikirkan sama ada kenyataan tersebut betul berlaku atau pun hanya luahan rasa tidak puas hati dengan kesuntukan masa membuat persediaan. Dengan hanya masa kurang sebulan untuk jurulatih menyediakan pasukan menghadapi lawan sekuat UAE dan pada masa yang sama pemain-pemain berjuang untuk setiap pasukan yang diwakili mereka di dalam kejohanan liga bolasepak tempatan. Seperti menjadi kebiasaan, apabila sesebuah pasukan itu tewas maka jurulatih menjadi sasaran utama. Sebagai ahli akademik yang terlibat secara langsung dengan perkembangan bolasepak negara, saya merasakan isu seperti ini perlu diberhentikan di dalam memastikan bolasepak negara tidak terus ketinggalan di peta dunia. Kita hanya berjaya mempromosikan isu bolasepak dari sudut negatif namun di dalam masa yang sama, kita gagal memikirkan bagaimana menggunakan isu tersebut ke arah positif. Saya pernah membincangkan tentang keberkesanan liga bolasepak Malaysia tanpa pemain import sebelum ini, dan isu ini telah timbul kembali setelah pasukan negara tewas yang mana jurulatih menyatakan liga tempatan adalah tidak kompetitif berbanding di negara-negara lain. FAM akan terus disanjungi sekiranya berjaya menganjurkan Liga Malaysia tanpa pemain import dan apa yang pasti FAM akan menukar kembali polisi pada tahun hadapan sekiranya gagal mencapai matlamat. Berdasarkan pemerhatian dari jurulatih-jurulatih tempatan pada hari ini, didapati hanya terdapat kira-kira 60 orang pemain bolasepak yang layak mewakili negara berbanding 360 pemain yang berdaftar dengan FAM. Kenyataan ini sedikit sebanyak menjawab pelbagai isu seperti contoh pemilihan pemain oleh bekas jurulatih negara yang sering kali dipertikaikan. Oleh yang demikian, pemilihan pemain bolasepak negara sering kali tertumpu hanya kepada 60 orang pemain ini sahaja, dan yang lain masih tidak layak lagi bergelar pemain bolasepak negara. Sudah selesai isu jurulatih dan kekalahan pasukan negara, maka FAM perlu merancang kembali pembangunan bolasepak negara dengan kerjasama dari semua persatuan bolasepak negeri. Kita tidak perlu meletakkan semua kesalahan kepada FAM sahaja, maka setiap persatuan bolasepak negeri perlu memainkan peranan mereka dengan lebih agresif. Bolasepak negara akan terus ketinggalan sekiranya semua persatuan negeri hanya berdiam diri sambil mengharapkan FAM melakukan sesuatu di dalam memastikan pembangunan bolasepak negara. Kewujudan atau perlaksanaan kembali setiap akademi bolasepak negeri perlu diberi perhatian serius. Satu cadangan yang difikirkan sesuai adalah melantik bekas-bekas pemain bolasepak negara atau pun negeri untuk menguruskan akademi tersebut termasuklah kaedah kejurulatihan yang sesuai. Pada hari ini, kebanyakkan agensi swasta dan NGO telah mula mengorak langkah di dalam mengendalikan klinik bolasepak untuk peringkat kanak-kanak. Ada segelintir negeri yang telah memulakan program ini secara menyeluruh, namun sejauh manakah ia dilaksanakan setiap daerah menjadi titik persoalan kita. Saya sangat bersetuju dengan cadangan pihak FAM menjalinkan hubungan dengan lebih serius dengan Kementerian Pelajaran Malaysia. Kita perlu sedar bahawa bakat-bakat pemain-pemain perlu dicungkil di awal usia kanak-kanak lagi. Ini disebabkan sebahagian masa kanak-kanak banyak dihabiskan di sekolah berbanding di rumah dan berdasarkan kajian yang menunjukkan sekolah merupakan tempat yang paling sesuai untuk kanak-kanak menimba ilmu termasuklah dari aspek sukan. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, memastikan imej bolasepak negara terus pulih dan perkembangan bolasepak terus diberi perhatian oleh semua pihak. Tidak perlu menunding jari mencari kesilapan, dan pada masa yang sama membiarkan sukan bolasepak yang kita cintai terus tenggelam di bawa arus.

Majulah Sukan Bolasepak Demi Negara!!!!

Sabtu, 21 Februari 2009

Komen juga lah...


Mari komen....

BOLASEPAK MALAYSIA DAN PIALA DUNIA 2018

Assalamualaikum WBT…

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua penyokong dan peminat bolasepak tanah air yang tidak putus-putus memberi sokongan padu kepada pasukan kegemaran mereka di dalam pertandingan TM Liga Super dan TM Liga Premier. Sangat membanggakan saya apabila melihat 40,000 penonton hadir ke Stadium Shah Alam menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan Selangor dan Negeri Sembilan. Ini membuktikan masih ada lagi peminat bolasepak negara yang cintakan sukan nombor satu ini dan ingin melihat pasukan Malaysia berada di kelompok terbaik dunia.

Mungkin segelintir peminat bolasepak negara mempersendakan pernyataan ini, namun kita perlu berfikiran positif untuk mencapai cita-cita yang paling tinggi bagi sesebuah pasukan bolasepak di seluruh dunia. Adakah terlalu mustahil untuk kita layak ke Piala Dunia satu hari nanti, atau kita sanggup menjadi penonton setia kepada pasukan negara luar di samping kita mengenepikan pasukan negara kita sendiri. Kita perlu berfikiran lebih terbuka di dalam soal ini di dalam memastikan impian kita melihat pasukan negara kita bertanding di Piala Dunia 2018 atau tahun 2022. Untuk perhatian, kita pernah layak ke Sukan Olimpik sebanyak dua kali dan pernah memenangi pingat di dalam Sukan Asia.

Ini membuktikan kita boleh layak ke Piala Dunia jika semua pihak bekerjasama dan menjadikan sukan ini sebagai impian negara. Apa yang perlu dihairankan jika negara kita layak ke Piala Dunia atau pun Sukan Olimpik, sedangkan negara-negara kecil seperti Ivory Coast dan Togo, mampu layak ke kejohanan tersebut. Suatu ketika dahulu kita pernah menjadi kuasa besar bolasepak Asia, negara seperti Jepun dan Korea bukanlah saingan sebenar kita. Namun pada hari, keadaan menjadi sebaliknya. Kita tidak boleh menoleh ke belakang lagi, namun usaha-usaha pemain veteran negara perlu disematkan di dalam hati semua pemain bolasepak negara sebagai pemangkin kepada kebangkitan. Harapan saya dan peminat bolasepak negara khususnya ingin melihat kemunculan pasukan negara yang baru, dengan semangat yang berkobar-kobar demi mempertahankan sukan nombor satu ini. Memang diakui, impian ini bukan mudah dicapai tanpa usaha semua pihak khususnya pemain negara sendiri. Perancangan yang rapi, pengurusan yang lebih professional, sistem latihan yang lebih berkesan, penggunaan teknologi sukan berkonsepkan R&D perlu diperluaskan. Perancangan yang dimaksudkan ialah pembangunan daripada akar umbi, peringkat sekolah dan sebagainya perlu diberi penekanan. Di negara-negara kuasa bolasepak seperti Germany, terdapat banyak pertandingan peringkat umur seperti contoh Kejohanan Bolasepak Bawah 10 tahun yang melibatkan tiga divisyen untuk kategori A,B,C. Perancangan ini berlarutan sehingga ke peringkat bawah umur 12 tahun dan ke atas. Pengurusan yang lebih professional juga mampu meningkatkan martabat sukan bolasepak ini. Pada hari ini, kita mempunyai para graduan sukan yang mampu menggalas tanggungjawab ini seperti contoh kerajaan mewujudkan Fakulti Sains Sukan dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di setiap universiti bagi memastikan mereka mampu membawa Malaysia ke peringkat antarabangsa. Berdasarkan pemerhatian dan tinjauan saya, pengurusan bolasepak negara kita perlu diberi perhatian serius. Kita di dalam era-professional namun masih terdapat lagi masalah gaji yang tertunggak bukan sahaja kepada pemain, malahan melibatkan jurulatih dan pengurusan pasukan. Hampir setiap tahun kita dibelenggu masalah yang hampir sama skripnya, dan di manakah kesudahanya. Perancangan yang sangat bagus dilakukan, namun perlaksanaanya sangat mengecewakan. Pengurusan yang lebih professional, bertanggungjawab dan mempunyai misi membawa Malaysia ke Piala Dunia perlu diberi perhatian. Saya sangat setuju jika kita menghantar pasukan pelapis sahaja ke Sukan Sea di Laos ini, dan memastikan skuad utama negara bersiap sedia menghadapi kejohanan lebih besar seperti Kelayakan Olimpik dan Pra-Piala Dunia, dan dalam masa yang sama mendedahkan mereka dengan perlawanan persahabatan antarabangsa. Bekas pemain import negeri Perlis, Stephen Keshi yang pernah beraksi di Piala Dunia satu ketika dulu pernah menyatakan bahawa pasukan Malaysia boleh layak ke Piala Dunia sekiranya pemain-pemain bolasepak di negara ini mengubah corak pengambilan makanan. Antara cadangan beliau ialah, pemain-pemain perlu mengelakkan daripada mengambil “roti canai” dan “nasi lemak” yang sangat popular di kalangan masyarakat kita. Perkara ini perlu diberi perhatian khusus untuk memastikan impian menjejak kaki ke pentas Piala Dunia menjadi impian. Dengan pelbagai cadangan dan penambahbaikan, diharapkan bolasepak terus berjaya di peringkat antarabangsa khusunya Piala Dunia. Oleh itu, ayuh semua berganding bahu bekerjasama di dalam memastikan pasukan negara beraksi di pentas tertinggi dunia. Tidak mustahil warna jersi kebanggaan kita iaitu ‘hitam-kuning’ berada di tengah-tengah kuasa besar bolasepak dunia pada tahun 2018 atau pun pada tahun 2022. Insyaallah, dengan kekuatan dan semangat yang membara, kita mampu melaksanakannya.

Majulah Sukan Bolasepak Demi Negara!!!!



Please comment



Rabu, 7 Januari 2009

Pengalaman Sebagai Pemain Bolasepak - Siri 2




Semangat dan cita-cita saya untuk berjaya di dalam sukan nombor satu negara ini terus terpahat dihati. Sekali lagi, ketika umur 15 tahun saya dipilih mewakili Negeri Melaka di Kejohanan Bolasepak Piala Coca-Cola Peringkat Kebangsaan Bawah 16 Tahun di Terengganu. Ketika ini, Cikgu Jalil merupakan jurulatih yang bertanggungjawab membentuk dan melatih pasukan ini. Syukur kehadrat Illahi, pasukan Negeri Melaka berjaya melangkah ke peringkat suku akhir untuk pertama kalinya. Ia lebih bermakna, apabila saya menjaringkan gol pertama untuk pasukan ini dan ini merupakan antara persembahan terbaik saya sepanjang penglibatan di dalam sukan bolasepak.

Sebagai pelajar sekolah ketika itu, saya juga perlu bersedia untuk untuk menghadapi Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Sebagai pemain bolasepak, kita juga perlu mengutamakan pelajaran demi memastikan masa depan terjamin. Saya berjaya lulus di dalam peperiksaan itu dan lebih bermakna lagi saya dipilih menyertai pemilihan skuad kebangsaan pada tahun 1995 untuk persiapan negara untuk Kejohanan Bolasepak Belia Asia yang berlangsung di Korea. Ini adalah salah satu lipatan sejarah yang terpahat di Sekolah Menengah Air Molek ini, kerana ia merupakan kali pertama salah seorang pelajar mereka terpilih menyertai pemilihan dan latihan pasukan bolasepak negara ketika itu.

Pemilihan melibatkan 50 pemain terbaik yang dipilih semasa Kejohanan Bolasepak Piala Coca-Cola Peringkat Kebangsaan Bawah 16 Tahun di Terengganu. Ianya berlangsung di Padang Kemajuan Negeri Sembilan (PKNS) selama seminggu. Latihan dan pemilihan pasukan negara ketika itu diketuai oleh jurulatih daripada Jerman, iaitu Mr. Oblger Obermann dan dibantu oleh En.Norizan Bakar (bekas jurulatih kebangsaan). Pengalaman dipilih menyertai sesi pemilihan pasukan bolasepak negara amat bermakna untuk saya. Aktiviti latihan dan pemilihan ini menuntut seseorang pemain itu menunjukkan segala kebolehan, kesungguhan dan yang paling penting adalah komitmen terhadap pasukan negara. Setiap kali sebelum sesi latihan dimulakan, laungan lagu Negaraku kedengaran di tengah-tengah padang. Keadaan ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan semangat di kalangan pemain-pemain. Latihan dan pemilihan yang berterusan setiap pagi dan petang selama enam hari berturut-turut memerlukan kadar stamina yang tinggi.

Pada hari pertama sesi pemilihan ini, saya berjaya menjadi ‘man of the match’ kerana kesungguhan dan kerajinan sewaktu latihan pertama pasukan ini. Lebih bermakna, saya diberi plug penghargaan daripada jurulatih. Keadaan ini meningkatkan tahap motivasi saya untuk terus berlatih dan berjaya. Latihan dan pemilihan pasukan kebangsaan ini bermula pada jam 630 pagi iaitu selepas solat subuh dan berakhir kira-kira pada pukul 10 pagi. Manakala pada sebelah petang, latihan akan dimulakan pada pukul 230 petang dan berakhir pada pukul 600 petang. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memantau perkembangan sesi latihan dan pemilihan skuad ini dengan menyediakan makanan yang berkualiti demi memastikan pemain sentiasa mempunyai tahap stamina yang tinggi. Begitulah seterusnya sesi pemilihan skuad ini selama 6 hari berturut-turut dan cita-cita untuk menyarung jersi kebanggaan negara akhirnya tercapai. Pada hari terakhir, satu perlawanan persahabatan diadakan dan saya diberi peluang memakai jersey kuning-hitam negara, yang pernah disarung oleh Annuar Abu Bakar (bekas pemain kebangsaan). Walaupun ianya hanyalah perlawanan persahabatan, namun perasaan bangga tetap terpahat di hati setiap pemain.

Selepas pulang daripada sesi pemilihan dan latihan skuad negara, saya terus menumpukan latihan seperti biasa untuk menghadapi kejohanan seterusnya. Namun saat yang paling menyedihkan dalam penglibatan saya di dalam sukan bolasepak apabila nama saya tidak tersenarai di dalam skuad utama negara. Saya hanya ditempatkan di dalam pasukan ‘Malaysia B’ di mana skuad ini akan dipanggil secara berterusan untuk sesi latihan. Berita ini diketahui melalui akhbar tempatan dan ini merupakan antara cabaran untuk saya terus berjaya di dalam sukan bolasepak. Seterusnya, saya dipilih mewakili negeri Melaka untuk Kejohanan Piala Razak (Razak Cup) yang berlangsung di Pulapol, Kuala Lumpur. Pasukan ini diketuai oleh jurulatih Mr.John dan dibantu oleh En.Maniam yang banyak membantu dan memberi semangat untuk saya terus berjaya. Pada kejohanan ini, pasukan negeri Melaka hanya layak di peringkat kumpulan sahaja.

Sebagai pemain bolasepak, kegagalan atau kejayaan adalah perkara yang tidak boleh dipisahakan. Saya gagal menempatkan diri dalam pasukan negeri Melaka pada tahun berikutnya disebabkan kesibukkan saya membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Berkat kesabaran dan latihan yang berterusan, saya dipilih mewakili pasukan Liga Simpanan Negeri Melaka pada tahun berikutnya. Namun saya membuat keputusan untuk tidak menyertai pasukan tersebut oleh kerana saya ditawarkan tempat untuk melanjutkan pelajaran ke Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Dengan pengalaman dan latihan bolasepak selama ini, sekarang saya menumpukan sepenuh masa saya dengan bidang pengajaran sukan di universiti di dalam memastikan negara dapat melahirkan pemain bolasepak yang hebat seperti Allahyarham Mokhtar Dahari satu hari nanti…..



Pengalaman Sebagai Pemain Bolasepak - Siri 1






Assalamualaikum WBT…
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak Penerbitan Majalah Bolasepak kerana memberi saya peluang menulis di dalam ruangan ini.
Sebelum saya menulis mengenai senario bolasepak Malaysia pada edisi yang berikut, eloklah saya berkongsi sedikit sebanyak pengalaman saya di dalam sukan bolasepak.
Saya dilahirkan di Air Molek, Melaka dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tentera Darat (SKPTD), Sungai Besi pada tahun 1987. Saya mula bergiat aktif di dalam sukan bolasepak ketika umur saya berusia 9 tahun. Pada masa itu, terdapat banyak klinik bolasepak yang dikenali sebagai “Skim Milo” yang mana ia melibatkan zon-zon kawasan Wilayah Perseketuan. Jurulatih pertama saya ketika itu adalah Cikgu Akbar. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab melatih dan memberi sokongan selain daripada keluarga saya sendiri. Posisi pertama saya dalam sukan bolasepak adalah penjaga gol, iaitu ketika menyertai Kejohanan Milo di bawah umur 9 tahun yang diadakan di Sekolah Menengah Victoria Institution, Kuala Lumpur yang melibatkan keseluruhan zon-zon di Wilayah Perseketuan. Pada tahun berikutnya, saya sekali lagi mewakili Zon Sungai Besi untuk Kejohanan Bolasepak Milo di bawah umur 10 tahun. Saya tidak lagi bermain di posisi penjaga gol disebabkan keinginan mencuba sebagai pemain penyerang. Ianya berhasil di mana pasukan saya iaitu Zon Sungai Besi layak ke separuh akhir dan saya berjaya menjaringkan lima gol sepanjang kejohanan.

Bermula pada saat itu, saya mula serius di dalam bolasepak. Pada tahun berikut, saya terpilih mewakili Kuala Lumpur di dalam Kejohanan Bolasepak Antarabangsa di bawah umur 12 tahun. Kejohanan ini melibatkan pasukan daripada negara-negara luar seperti Jepun, Perancis, Denmark, Indonesia, dan lain-lain. Pasukan saya dibimbing oleh jurulatih Cikgu Karim di mana beliau banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada saya. Berkat latihan dan kesungguhan, pasukan Kuala Lumpur berjaya merangkul kejuaraan dan lebih bermakna lagi saya dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dan juga sebagai Penjaring Terbanyak Kejohanan dengan lapan gol.
Selepas daripada itu, saya bercita-cita menjadi pemain bolasepak negara satu hari nanti. Nama-nama besar pemain bolasepak ketika itu seperti Abbas Saad, Fandi Ahmad, Dollah Salleh, Allistair Edwards dan lain-lain menjadi sumber inspirasi kepada saya untuk terus berjaya. Ketika berumur 12 tahun, saya dipilih mewakili pasukan negeri Wilayah Perseketuan untuk kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang diadakan di negeri Kelantan. Namun, pasukan saya gagal mencapai tahap permainan sebenar dan hanya layak untuk peringkat kumpulan sahaja. Walaupun sibuk dengan latihan bolasepak, namun saya tetap berjaya lulus dengan baik Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), dan lebih bermakna saya dipilih sebagai Pelajar Terbaik Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tentera Darat (SKPTD), Sungai Besi.

Ketika umur 13 tahun, keluarga saya membuat keputusan untuk berpindah ke negeri Melaka disebabkan ayah bersara daripada Angkatan Tentera. Saya mula mengorak langkah untuk bermain bolasepak secara lebih serius di negeri Hang Tuah. Kelab Persibu merupakan kelab pertama yang saya sertai di Melaka, ketika saya berumur 13 tahun. Kelab ini telah melahirkan pemain-pemain hebat seperti Sapian Wahid, Mazelan Wahid, Shukor Adan dan lain-lain pemain. Kelab ini diketuai oleh En. Dollah yang banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat untuk terus berjaya. Ketika itu, saya bersama pemain-pemain seperti Shukor Adan (Ketua Pasukan Kebangsaan), Fauzi Amzah, Sri Jaafar dan lain-lain pemain berjaya merangkul kejuaraan selama 5 tahun berturut-turut untuk Kejohanan Bolasepak Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) Bawah 18 tahun.

Pada masa yang sama, saya bersekolah di Sekolah Menengah Air Molek dan menjadi ketua pasukan bolasepak sekolah tersebut. Saya menjadi pelajar pertama di sekolah berkenaan terpilih mewakili negeri Melaka di dalam bolasepak ketika umur 14 tahun. Walaupun sekolah ini jauh daripada kawasan Bandar, namun saya membuktikan bahawa tidak mustahil untuk berjaya sekiranya seseorang pemain itu berlatih bersungguh-sungguh. Dengan latihan dan semangat yang membara, saya dipilih mewakili negeri Melaka untuk Kejohanan Bolasepak Piala Coca-Cola Peringkat Kebangsaan Bawah 16 Tahun, yang berlangsung di Kuantan, Pahang. Jurulatih saya pada ketika itu ialah En.Richard Sinapan, yang juga bertanggungjawab melatih Kelab Persibu ketika itu. Pada kejohanan itu, pasukan negeri Melaka hanya mampu layak sehingga ke peringkat kumpulan setelah tewas kepada negeri Kedah yang seterusnya berjaya merangkul kejuaraan.