Selasa, 26 Mei 2009

Isu Jurulatih

ISU JURULATIH DAN PENCAPAIAN BOLASEPAK NEGARA

Assalamualaikum WBT…
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada FAM, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, semua penyokong dan peminat bolasepak tanah air yang tidak putus-putus memberi sokongan padu kepada pasukan negara walaupun baru-baru ini pelbagai isu timbul disebalik kekalahan kepada pasukan kebangsaan UAE di dalam perlawanan kelayakan Piala Asia.
Bolasepak negara pada kebelakangan ini sering menjadi tumpuan pihak media dan juga persatuan yang terlibat secara langsung dengan perkembangan bolasepak termasuklah Kementerian Belia dan Sukan dan juga Majlis Sukan Negara. Kita dikejutkan dengan isu jurulatih bolasepak negara iaitu B.Sathianathan yang menyatakan ‘M-League is Not A Football’ atau dengan kata lain ‘Liga Malaysia Bukanlah Bolasepak Sebenar’. Kenyataan tersebut mendapat perhatian semua peminat dan pencinta bolasepak termasuklah jurulatih-jurulatih tempatan. Sejurus selepas itu, FAM dengan kata sepakat telah memutuskan untuk memecat jurulatih negara iaitu B.Sathinathan bersama dengan pengurus pasukan bolasepak negara iaitu Datuk Soh Chin Aun. Bagi segelintir peminat dan pemerhati bolasepak, perkara ini tidak mengejutkan disebabkan kegagalan pasukan negara di dalam Kejohanan Piala Suzuki AFF pada tahun yang lalu. Sebagai pencinta bolasepak negara, kita tidak perlu membesarkan isu berkaitan kenyataan bekas jurulatih bolasepak negara itu. Kita perlu bersama-sama memikirkan sama ada kenyataan tersebut betul berlaku atau pun hanya luahan rasa tidak puas hati dengan kesuntukan masa membuat persediaan. Dengan hanya masa kurang sebulan untuk jurulatih menyediakan pasukan menghadapi lawan sekuat UAE dan pada masa yang sama pemain-pemain berjuang untuk setiap pasukan yang diwakili mereka di dalam kejohanan liga bolasepak tempatan. Seperti menjadi kebiasaan, apabila sesebuah pasukan itu tewas maka jurulatih menjadi sasaran utama. Sebagai ahli akademik yang terlibat secara langsung dengan perkembangan bolasepak negara, saya merasakan isu seperti ini perlu diberhentikan di dalam memastikan bolasepak negara tidak terus ketinggalan di peta dunia. Kita hanya berjaya mempromosikan isu bolasepak dari sudut negatif namun di dalam masa yang sama, kita gagal memikirkan bagaimana menggunakan isu tersebut ke arah positif. Saya pernah membincangkan tentang keberkesanan liga bolasepak Malaysia tanpa pemain import sebelum ini, dan isu ini telah timbul kembali setelah pasukan negara tewas yang mana jurulatih menyatakan liga tempatan adalah tidak kompetitif berbanding di negara-negara lain. FAM akan terus disanjungi sekiranya berjaya menganjurkan Liga Malaysia tanpa pemain import dan apa yang pasti FAM akan menukar kembali polisi pada tahun hadapan sekiranya gagal mencapai matlamat. Berdasarkan pemerhatian dari jurulatih-jurulatih tempatan pada hari ini, didapati hanya terdapat kira-kira 60 orang pemain bolasepak yang layak mewakili negara berbanding 360 pemain yang berdaftar dengan FAM. Kenyataan ini sedikit sebanyak menjawab pelbagai isu seperti contoh pemilihan pemain oleh bekas jurulatih negara yang sering kali dipertikaikan. Oleh yang demikian, pemilihan pemain bolasepak negara sering kali tertumpu hanya kepada 60 orang pemain ini sahaja, dan yang lain masih tidak layak lagi bergelar pemain bolasepak negara. Sudah selesai isu jurulatih dan kekalahan pasukan negara, maka FAM perlu merancang kembali pembangunan bolasepak negara dengan kerjasama dari semua persatuan bolasepak negeri. Kita tidak perlu meletakkan semua kesalahan kepada FAM sahaja, maka setiap persatuan bolasepak negeri perlu memainkan peranan mereka dengan lebih agresif. Bolasepak negara akan terus ketinggalan sekiranya semua persatuan negeri hanya berdiam diri sambil mengharapkan FAM melakukan sesuatu di dalam memastikan pembangunan bolasepak negara. Kewujudan atau perlaksanaan kembali setiap akademi bolasepak negeri perlu diberi perhatian serius. Satu cadangan yang difikirkan sesuai adalah melantik bekas-bekas pemain bolasepak negara atau pun negeri untuk menguruskan akademi tersebut termasuklah kaedah kejurulatihan yang sesuai. Pada hari ini, kebanyakkan agensi swasta dan NGO telah mula mengorak langkah di dalam mengendalikan klinik bolasepak untuk peringkat kanak-kanak. Ada segelintir negeri yang telah memulakan program ini secara menyeluruh, namun sejauh manakah ia dilaksanakan setiap daerah menjadi titik persoalan kita. Saya sangat bersetuju dengan cadangan pihak FAM menjalinkan hubungan dengan lebih serius dengan Kementerian Pelajaran Malaysia. Kita perlu sedar bahawa bakat-bakat pemain-pemain perlu dicungkil di awal usia kanak-kanak lagi. Ini disebabkan sebahagian masa kanak-kanak banyak dihabiskan di sekolah berbanding di rumah dan berdasarkan kajian yang menunjukkan sekolah merupakan tempat yang paling sesuai untuk kanak-kanak menimba ilmu termasuklah dari aspek sukan. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, memastikan imej bolasepak negara terus pulih dan perkembangan bolasepak terus diberi perhatian oleh semua pihak. Tidak perlu menunding jari mencari kesilapan, dan pada masa yang sama membiarkan sukan bolasepak yang kita cintai terus tenggelam di bawa arus.

Majulah Sukan Bolasepak Demi Negara!!!!