Rabu, 7 Januari 2009

Pengalaman Sebagai Pemain Bolasepak - Siri 2




Semangat dan cita-cita saya untuk berjaya di dalam sukan nombor satu negara ini terus terpahat dihati. Sekali lagi, ketika umur 15 tahun saya dipilih mewakili Negeri Melaka di Kejohanan Bolasepak Piala Coca-Cola Peringkat Kebangsaan Bawah 16 Tahun di Terengganu. Ketika ini, Cikgu Jalil merupakan jurulatih yang bertanggungjawab membentuk dan melatih pasukan ini. Syukur kehadrat Illahi, pasukan Negeri Melaka berjaya melangkah ke peringkat suku akhir untuk pertama kalinya. Ia lebih bermakna, apabila saya menjaringkan gol pertama untuk pasukan ini dan ini merupakan antara persembahan terbaik saya sepanjang penglibatan di dalam sukan bolasepak.

Sebagai pelajar sekolah ketika itu, saya juga perlu bersedia untuk untuk menghadapi Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Sebagai pemain bolasepak, kita juga perlu mengutamakan pelajaran demi memastikan masa depan terjamin. Saya berjaya lulus di dalam peperiksaan itu dan lebih bermakna lagi saya dipilih menyertai pemilihan skuad kebangsaan pada tahun 1995 untuk persiapan negara untuk Kejohanan Bolasepak Belia Asia yang berlangsung di Korea. Ini adalah salah satu lipatan sejarah yang terpahat di Sekolah Menengah Air Molek ini, kerana ia merupakan kali pertama salah seorang pelajar mereka terpilih menyertai pemilihan dan latihan pasukan bolasepak negara ketika itu.

Pemilihan melibatkan 50 pemain terbaik yang dipilih semasa Kejohanan Bolasepak Piala Coca-Cola Peringkat Kebangsaan Bawah 16 Tahun di Terengganu. Ianya berlangsung di Padang Kemajuan Negeri Sembilan (PKNS) selama seminggu. Latihan dan pemilihan pasukan negara ketika itu diketuai oleh jurulatih daripada Jerman, iaitu Mr. Oblger Obermann dan dibantu oleh En.Norizan Bakar (bekas jurulatih kebangsaan). Pengalaman dipilih menyertai sesi pemilihan pasukan bolasepak negara amat bermakna untuk saya. Aktiviti latihan dan pemilihan ini menuntut seseorang pemain itu menunjukkan segala kebolehan, kesungguhan dan yang paling penting adalah komitmen terhadap pasukan negara. Setiap kali sebelum sesi latihan dimulakan, laungan lagu Negaraku kedengaran di tengah-tengah padang. Keadaan ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan semangat di kalangan pemain-pemain. Latihan dan pemilihan yang berterusan setiap pagi dan petang selama enam hari berturut-turut memerlukan kadar stamina yang tinggi.

Pada hari pertama sesi pemilihan ini, saya berjaya menjadi ‘man of the match’ kerana kesungguhan dan kerajinan sewaktu latihan pertama pasukan ini. Lebih bermakna, saya diberi plug penghargaan daripada jurulatih. Keadaan ini meningkatkan tahap motivasi saya untuk terus berlatih dan berjaya. Latihan dan pemilihan pasukan kebangsaan ini bermula pada jam 630 pagi iaitu selepas solat subuh dan berakhir kira-kira pada pukul 10 pagi. Manakala pada sebelah petang, latihan akan dimulakan pada pukul 230 petang dan berakhir pada pukul 600 petang. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memantau perkembangan sesi latihan dan pemilihan skuad ini dengan menyediakan makanan yang berkualiti demi memastikan pemain sentiasa mempunyai tahap stamina yang tinggi. Begitulah seterusnya sesi pemilihan skuad ini selama 6 hari berturut-turut dan cita-cita untuk menyarung jersi kebanggaan negara akhirnya tercapai. Pada hari terakhir, satu perlawanan persahabatan diadakan dan saya diberi peluang memakai jersey kuning-hitam negara, yang pernah disarung oleh Annuar Abu Bakar (bekas pemain kebangsaan). Walaupun ianya hanyalah perlawanan persahabatan, namun perasaan bangga tetap terpahat di hati setiap pemain.

Selepas pulang daripada sesi pemilihan dan latihan skuad negara, saya terus menumpukan latihan seperti biasa untuk menghadapi kejohanan seterusnya. Namun saat yang paling menyedihkan dalam penglibatan saya di dalam sukan bolasepak apabila nama saya tidak tersenarai di dalam skuad utama negara. Saya hanya ditempatkan di dalam pasukan ‘Malaysia B’ di mana skuad ini akan dipanggil secara berterusan untuk sesi latihan. Berita ini diketahui melalui akhbar tempatan dan ini merupakan antara cabaran untuk saya terus berjaya di dalam sukan bolasepak. Seterusnya, saya dipilih mewakili negeri Melaka untuk Kejohanan Piala Razak (Razak Cup) yang berlangsung di Pulapol, Kuala Lumpur. Pasukan ini diketuai oleh jurulatih Mr.John dan dibantu oleh En.Maniam yang banyak membantu dan memberi semangat untuk saya terus berjaya. Pada kejohanan ini, pasukan negeri Melaka hanya layak di peringkat kumpulan sahaja.

Sebagai pemain bolasepak, kegagalan atau kejayaan adalah perkara yang tidak boleh dipisahakan. Saya gagal menempatkan diri dalam pasukan negeri Melaka pada tahun berikutnya disebabkan kesibukkan saya membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Berkat kesabaran dan latihan yang berterusan, saya dipilih mewakili pasukan Liga Simpanan Negeri Melaka pada tahun berikutnya. Namun saya membuat keputusan untuk tidak menyertai pasukan tersebut oleh kerana saya ditawarkan tempat untuk melanjutkan pelajaran ke Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Dengan pengalaman dan latihan bolasepak selama ini, sekarang saya menumpukan sepenuh masa saya dengan bidang pengajaran sukan di universiti di dalam memastikan negara dapat melahirkan pemain bolasepak yang hebat seperti Allahyarham Mokhtar Dahari satu hari nanti…..



Pengalaman Sebagai Pemain Bolasepak - Siri 1






Assalamualaikum WBT…
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak Penerbitan Majalah Bolasepak kerana memberi saya peluang menulis di dalam ruangan ini.
Sebelum saya menulis mengenai senario bolasepak Malaysia pada edisi yang berikut, eloklah saya berkongsi sedikit sebanyak pengalaman saya di dalam sukan bolasepak.
Saya dilahirkan di Air Molek, Melaka dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tentera Darat (SKPTD), Sungai Besi pada tahun 1987. Saya mula bergiat aktif di dalam sukan bolasepak ketika umur saya berusia 9 tahun. Pada masa itu, terdapat banyak klinik bolasepak yang dikenali sebagai “Skim Milo” yang mana ia melibatkan zon-zon kawasan Wilayah Perseketuan. Jurulatih pertama saya ketika itu adalah Cikgu Akbar. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab melatih dan memberi sokongan selain daripada keluarga saya sendiri. Posisi pertama saya dalam sukan bolasepak adalah penjaga gol, iaitu ketika menyertai Kejohanan Milo di bawah umur 9 tahun yang diadakan di Sekolah Menengah Victoria Institution, Kuala Lumpur yang melibatkan keseluruhan zon-zon di Wilayah Perseketuan. Pada tahun berikutnya, saya sekali lagi mewakili Zon Sungai Besi untuk Kejohanan Bolasepak Milo di bawah umur 10 tahun. Saya tidak lagi bermain di posisi penjaga gol disebabkan keinginan mencuba sebagai pemain penyerang. Ianya berhasil di mana pasukan saya iaitu Zon Sungai Besi layak ke separuh akhir dan saya berjaya menjaringkan lima gol sepanjang kejohanan.

Bermula pada saat itu, saya mula serius di dalam bolasepak. Pada tahun berikut, saya terpilih mewakili Kuala Lumpur di dalam Kejohanan Bolasepak Antarabangsa di bawah umur 12 tahun. Kejohanan ini melibatkan pasukan daripada negara-negara luar seperti Jepun, Perancis, Denmark, Indonesia, dan lain-lain. Pasukan saya dibimbing oleh jurulatih Cikgu Karim di mana beliau banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada saya. Berkat latihan dan kesungguhan, pasukan Kuala Lumpur berjaya merangkul kejuaraan dan lebih bermakna lagi saya dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dan juga sebagai Penjaring Terbanyak Kejohanan dengan lapan gol.
Selepas daripada itu, saya bercita-cita menjadi pemain bolasepak negara satu hari nanti. Nama-nama besar pemain bolasepak ketika itu seperti Abbas Saad, Fandi Ahmad, Dollah Salleh, Allistair Edwards dan lain-lain menjadi sumber inspirasi kepada saya untuk terus berjaya. Ketika berumur 12 tahun, saya dipilih mewakili pasukan negeri Wilayah Perseketuan untuk kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang diadakan di negeri Kelantan. Namun, pasukan saya gagal mencapai tahap permainan sebenar dan hanya layak untuk peringkat kumpulan sahaja. Walaupun sibuk dengan latihan bolasepak, namun saya tetap berjaya lulus dengan baik Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), dan lebih bermakna saya dipilih sebagai Pelajar Terbaik Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tentera Darat (SKPTD), Sungai Besi.

Ketika umur 13 tahun, keluarga saya membuat keputusan untuk berpindah ke negeri Melaka disebabkan ayah bersara daripada Angkatan Tentera. Saya mula mengorak langkah untuk bermain bolasepak secara lebih serius di negeri Hang Tuah. Kelab Persibu merupakan kelab pertama yang saya sertai di Melaka, ketika saya berumur 13 tahun. Kelab ini telah melahirkan pemain-pemain hebat seperti Sapian Wahid, Mazelan Wahid, Shukor Adan dan lain-lain pemain. Kelab ini diketuai oleh En. Dollah yang banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat untuk terus berjaya. Ketika itu, saya bersama pemain-pemain seperti Shukor Adan (Ketua Pasukan Kebangsaan), Fauzi Amzah, Sri Jaafar dan lain-lain pemain berjaya merangkul kejuaraan selama 5 tahun berturut-turut untuk Kejohanan Bolasepak Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) Bawah 18 tahun.

Pada masa yang sama, saya bersekolah di Sekolah Menengah Air Molek dan menjadi ketua pasukan bolasepak sekolah tersebut. Saya menjadi pelajar pertama di sekolah berkenaan terpilih mewakili negeri Melaka di dalam bolasepak ketika umur 14 tahun. Walaupun sekolah ini jauh daripada kawasan Bandar, namun saya membuktikan bahawa tidak mustahil untuk berjaya sekiranya seseorang pemain itu berlatih bersungguh-sungguh. Dengan latihan dan semangat yang membara, saya dipilih mewakili negeri Melaka untuk Kejohanan Bolasepak Piala Coca-Cola Peringkat Kebangsaan Bawah 16 Tahun, yang berlangsung di Kuantan, Pahang. Jurulatih saya pada ketika itu ialah En.Richard Sinapan, yang juga bertanggungjawab melatih Kelab Persibu ketika itu. Pada kejohanan itu, pasukan negeri Melaka hanya mampu layak sehingga ke peringkat kumpulan setelah tewas kepada negeri Kedah yang seterusnya berjaya merangkul kejuaraan.